Latar belakang Abdullah_Tahir

Haji Abdullah Tahir dilahirkan di Kampung Sireh, Kota Bharu pada 20 Jun 1897 (20 Muharram 1315). Bapanya, Haji Ahmad Awang Ludin berasal dari Kampung Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920) dan pernah bermukim di Mekah selama empat tahun sehingga 1903.

Pendidikan

Selain belajar dengan ayahnya, Abdullah Tahir telah berguru dengan Tok Kenali selama 15 tahun di Pondok Kenali dan Masjid Muhammadi sejak 1910. Beliau turut berguru dengan Tuan Guru Haji Nik Man Tua (Nik Abdul Rahman Wan Sulaiman) dan Mufti Haji Idris Che Hassan. Pada 1926, beliau berangkat ke Mekah dan berguru dengan Sheikh Ali Maliki, Sheikh Said Yamani, Sheikh Mokhtar Atarid dan Sheikh Muhammad al-Fathani. Beliau telah kembali ke Kelantan pada 1931 untuk menabur bakti.

Kerjaya awal

Pada awalnya, beliau menjadi tenaga pengajar di Masjid Muhammadi beberapa tahun bersama Tok Kenali, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Tuan Guru Haji Saad Kangkung, Tuan Guru Haji Ahmad Manan dan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang. Pada akhir 1931, beliau mengasaskan Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung yang mempunyai pelajar yang ramai dari seluruh pelusuk tanah air. Dalam tahun 1936, beliau telah mengasaskan Jabhat ad-Diniah al-Islamiyah Kelantan, iaitu pertubuhan ulamak yang pertama di Tanah Melayu di mana beliau sendiri pernah menjadi Yang Dipertuanya. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir juga dilantik sebagai Ahli Jemaah Ulamak MAIK dan anggota Jawatankuasa Pengadil Mahkamah Kelantan[1].